Thursday, January 6, 2011

Siapa Aku DI Sisi Mu Bab 3

Bab 3



Semenjak dari hari pertama itu lagi, Izwan menjauhkan dirinya daripada Siti Hajar. Nampaknya Azrul memang berusaha keras untuk memikat Siti Hajar. Setakat ini Izwan rasa usaha Azrul itu belum membuahkan hasil. Azrul sering datang ke biliknya di waktu malam untuk bercerita tentang perkembangan terbaru tentang Siti Hajar. Rupa-rupanya betul sangkaan Izwan Siti Hajar bukan pekerja biasa tetapi sebenarnya anak kepada tuan punya Kelly’s Inn, Pak Cik Suhaimi. Siti Hajar baru sahaja selesai pengajian Diplomanya di Universiti Teknologi Mara, dalam Jurusan Pengurusan Hotel dan Katering. Baru berumur 21 tahun. Azrul nampaknya bersungguh-sungguh hendak memikat Siti Hajar. Tetapi layanan mesra Siti Hajar kepadanya sebenar layanan kepada seorang pelanggan yang menghuni di Kelly’s Inn. Terubat sedikit sakit hati Izwan mendengar cerita Azrul. Siti Hajar masih belum masuk ke dalam perangkapnya Azrul.

Tetapi dia tetap menjauhkan dirinya daripada Siti Hajar. Dia tidak akan berebut dengan Azrul. Dia terlalu ‘macho’ untuk berebut dengan Azrul. Azrul bukan lawannya. Lagipun dia tidak mahu kalah dengan prinsipnya yang tidak mahu mendekati gadis tempatan. Gadis yang secocok dengannya ialah gadis kota yang anggun dan sofistikated. Boleh bawak ke kelab malam dan tahan beraksi sampai pagi. Mereka tidak kekok untuk di bawa ke sana dan ke mari. Bukan seorang yang seperti Siti Hajar, bekerja tanpa berhenti setiap hari, gadis serba boleh, terlalu baik. Siti Hajar membuatkan dia kena jadi macam malaikat, baru boleh dampingi gadis macam Siti Hajar. Gadis kampung yang terlalu baik. Tidak sesuai langsung dengan gaya hidup Iwzan sekarang ini. Itulah alasan-alasan yang Izwan sering berikan kepada dirinya sendiri untuk menjauhi dirinya daripada Siti Hajar.

Sudah tiga minggu mereka bertugas di Cameron Highland, Nasib mereka baik kerana baik kemajuan kerja agak memuaskan. Cuma apabila hujan turun tidak berhenti-henti, kerja-kerja pembinaan akan tergendala. Mereka kena lebih berhati-hati dalam menjalankan kerja kerana sekarang ini semua kerja-kerja pembinaan di sekitar Cameron Highland mendapat perhatian khas daripada pihak NGO dan pencinta Alam Sekitar. Ini adalah kerana kebanyakan pemaju-pemaju di sini selama ini telah mengabai penjagaan alam sekitar sehingga menyebabkan kesan hakisan yang teruk di sekitar tanah tinggi ini. Banyak kejadian tanah runtuh yang berlaku dan ada yang melibatkan kemalangan jiwa. Semua mereka yang terlibat dengan pembinaan hotel di Kampung Raja ini sedar yang mereka kena menjalankan kerja dengan lebih berhati-hati. Langkah-langkah kawalan alam sekitar menjadi satu perkara penting yang mesti di utamakan oleh pihak pemaju. “Jangan sampai Karam Singh Walia seret kita ke dalam Bulletin Utama,” beberapa kali pihak pemaju memberi amaran kepada mereka yang bertugas di sini. Walaupun dalam keadaan berjenaka tetapi semua orang tahu ini satu perkara yang serious.

Semalam hujan turun sepanjang hari walaupun tidak lebat sangat. Izwan yang berada di kawasan tapakbina basah di timpa hujan seharian. Aktiviti `concreting’ dan `grouting’ yang di jalankan harus diselesaikan juga. Sebagai resident engineer, Izwan amat teliti dengan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas dirinya. Dia berada dalam hujan itu sehingga selesai tugasnya tanpa memikirkan risiko dari perbuatannya itu. Akibatnya pagi ini Izwan tidak berdaya bangun langsung. Kepalanya terasa amat berat. Tekaknya sangat perit dan gatal. Dia sudah mula batuk-batuk semenjak subuh tadi. Setelah memberitahu Lim dan Azrul tentang kesihatannya, Izwan kembali berselubung di atas katil. Azrul datang sebentar melihat Izwan yang mengerikut di atas katil, tetapi terpaksa meninggalkannya untuk bertugas pagi itu. Badan Izwan terasa amat panas tetapi dia mengigil kesejukan. Biliknya dalam kegelapan kerana langsir tebal tidak diselakkanya. Suasana sekeliling sunyi sepi. Izwan mengerang perlahan sambil memejamkan matanya. Keadaan sekeliling di rasakan sedang berpusar ligat.

Kemudian dia terdengar pintu biliknya dibuka orang. Amah tukang cuci bilik agaknya. Kata dia di dalam hatinya.

“Ah! Biarkanlah dia,” Izwan terlalu lemah untuk bangun atau membuka matanya.
Siti Hajar yang menolak troli yang membawa cadar dan tuala dan bekas sampoo dan sabun masuk ke dalam bilik yang gelap itu. Hari ini Amah pencuci bilik mengambil cuti kecemasan. Ada berlaku kematian, salah seorang saudaranya di Tanah Rata meninggal dunia malam tadi. Siti Hajar terpaksa mengambil tugas mencuci bilik hari ini. Nora menjaga kaunter dan mak cik Som seperti biasa menguruskan tentang makanan. Ayah tidak pergi turun ke Tapah hari ini jadi dia boleh membantu Mak cik Som dan juga menjaga ibunya.

Hajar tidak perasan ada orang di dalam bilik tersebut. Selalunya pekerja syarikat kejuruteraan telah bertolak sebelum pukul 9.00 pagi lagi. Jam telahpun menunjukkan pukul 9.15 pagi. Dia terus pergi menuju ke tingkap dan menarik langsir tebal yang menghalang cahaya masuk ke dalam bilik tersebut dengan pantas. Siti Hajar ingin mengemaskan bilik-bilik ini dengan segera kerana dia masih banyak tugas yang hendak di selesaikannya.

Bunyi seretan cangkuk-cangkuk langsir amat mengilukan telinga Izwan, terasa hingga ke hatinya, lantas dia mengerang.
“Ah,”
Siti Hajar terkejut mendengar orang mengerang. Dia lalu menoleh ke arah suara yang mengerang yang datang dari arah katil. Dia terkejut apabila melihat ada orang sedang berselimut di atas katil.

“Encik Izwan.” Seru Hajar.
“Ah….” Izwan mengerang lagi.
“Maafkan saya Encik Izwan. Saya ingat tidak ada orang dalam bilik ini,” Syikin cepat-cepat menutup sedikit langsir yang dibuka dengan luas tadi supaya mengelapkan sedikit bilik itu.

Izwan cuba bangun, selimutnya terungkai sampai ke pinggang, dia tidak memakai baju dan hanya memakai seluar trek. Tubuhnya yang berotot terdedah menjadi santapan mata Siti Hajar. Sememangnya susuk tubuh badannya menarik perhatian. Sempat juga Siti Hajar berkata-kata di dalam hati. Dipadan dengan wajah yang sangat tampan, menurut Azrul ramai gadis yang gilakan jejaka ini. Patutlah pun. Dia seorang lelaki yang tampan dan menarik.

Selama ini Siti Hajar banyak mendengar cerita-cerita mengenai Izwan dari mulut Azrul. Azrul banyak menghabiskan masanya berbual dengan Siti Hajar dan Nora pada waktu malam. Sebelum masuk tidur, Azrul akan menemani mereka di kaunter pendaftaran. Nora dan Siti Hajar tahu Azrul kebosanan tinggal di Kelly’s Inn, Kampung Raja. Tidak ada langsung tempat untuk dia berhibur. Sebab itu mereka melayan Azrul berbual hampir saban malam. Kadang-kala Azrul bercerita tentang Izwan. Itu sahaja caranya mereka dapat mengetahui lebih lanjut mengenai Izwan. Hajar dapati Izwan agak sombong dan tidak mahu bercakap langsung dengannya. Kadang-kala bila Hajar menegur Izwan dengan ucapan selamat pagi, atau selamat malam, Izwan buat dengar tidak dengar pun. Tidak perduli langsung. Macam Hajar tidak wujud dalam dunia. Hajar macam kuli sahaja dipandangan mata Izwan Kuli atau orang gaji pun ada juga perasaan. Kalau sapaan demi sapaan langsung tidak diperdulikan Izwan, lama kelamaan Hajar terasa juga. Oleh yang demikian, Siti Hajar juga tidak cuba lagi untuk mendekati Izwan selepas itu. Walaupun sebenarnya, Siti Hajar amat tertarik sangat untuk berkenalan lebih rapat dengan Izwan.

Sejak mula-mula bertemu lagi Siti Hajar terlalu tertarik dengan Izwan. Tetapi Izwan tidak sedikit pun menunjukkan yang dia sudi berkawan dengan Siti Hajar. Siti Hajar cepat-cepat sedarkan akan dirinya sebagai pekerja di Kelly’s Inn. Bukan layak untuk menjadi kawan kepada orang seperti Izwan. Oleh yang demikian dia pun menjauhkan dirinya dan tidak pernah cuba untuk berbaik dengan untuk mendaptkan perhatian Izwan. Dia cuma meminati Izwan dari jauh sahaja.

Izwan berbaring semula dan menutup matanya, walaupun Hajar telah menutup sedikit langsir yang dibukanya tadi, Izwan masih rasa keadaan bilik itu terlalu terang. Dia memejamkan matanya untuk menahan cahaya cerah daripada menyucuk matanya. Izwan mengerang kesakitan. Kepalanya terasa sakit sekali.

Mulanya Hajar hendak keluar daripada bilik itu tetapi dia berhenti dan terfikir situasi yang dihadapannya buat seketika. Dia memandang semula ke arah Izwan yang sedang mengerang kesakitan. Kesihan pulak bila melihat Izwan dalam keadaan begitu.

“Kenapa Encik Izwan,” soal Siti Hajar

Izwan tidak memperdulikan pertanyaan Hajar dan terus mengerang perlahan. Apabila dilihatnya keadaan Izwan agak teruk dengan gayanya mengerang kesakitan, mahu tidak mahu Siti Hajar mendekati tubuh Izwan dan menyentuh dahinya.

“Encik Izwan deman panas?” Kata Siti Hajar.

Izwan terasa kedinginan tangan Siti Hajar yang memegang dahinya. Sentuhan tangan Siti Hajar yang sejuk itu dirasakan meredakan sedikit kesakitannya. Izwan mengangguk lemah.

“Sudah makan ubat?” Soal Hajar dengan lembut.
Izwan mengelengkan kepalanya.

“Encik Izwan sudah makan ke belum?”
Sekali lagi Izwan mengelengkan kepalanya.

“Sekejap ye, nanti saya datang balik,” Siti Hajar menyelimuti semula tubuh Izwan. Izwan tidak mahu Siti Hajar meninggalkannya dirinya sendirian tetapi Siti Hajar telah pun beredar dari bilik itu.

Tidak lama kemudian, Siti Hajar datang bersama-sama dengan bapanya, Pakcik Suhaimi. Siti Hajar kemudiannya menyuruh Izwan duduk bersandar dan cuba memberi dia makan bubur nasi. Setiap hari mak cik Som ada menyediakan bubur nasi untuk ibunya. Izwan menolak tangan Hajar, tetapi dalam lembut Hajar memaksa juga dia makan.

“Macamana hendak makan ubat kalau perut Encik Izwan kosong.” Pujuk Siti Hajar. Lama kelamaan Izwan makan sedikit demi sedikit sehingga habis separuh daripada bubur nasi itu. Kemudian dia menolak tangan Siti Hajar. Izwan menyandarkan badannya semula di kepala katil. Siti Hajar kemudiannya menghulurkan ubat untuk di makannya satu persatu. Selesai memakan ubat, Izwan meminta tolong pakcik Suhaimi memapah dia ke bilik air. Siti Hajar keluar semula dari bilik Izwan dan kembali apabila Izwan sudah selesai mandi.

Pak cik Suhaimi kemudiannya dipanggil oleh Nora untuk menjawap panggilan telefon. Izwan berbaring semula di atas katil. Siti Hajar telah membawakan botol getah berisi air panas dan meletakkan di sebelah badan Izwan. Hajar meletakkan sebiji takung kecil di atas meja sisi katil. Memandangkan keadaannya yang tidak berdaya untuk bangun, boleh dia gunakan takung tersebut, kalau Izwan terasa mual hendak muntah. Kemudian Siti Hajar meletakkan sehelai tuala yang basah di atas kepala Izwan, lalu menutup tubuh Izwan dengan selimut. Baru Izwan terasa lega sedikit, dia memejamkan matanya lalu tertidur. Apabila mendapati Izwan sudah tertidur, Siti Hajar cepat mengemaskan biliknya dan mencuci bilik air izwan. Dia kemudiannya menutup pintu Izwan dengan perlahan dan meneruskan tugasnya untuk mencuci bilik-bilik tetamu yang lain.

****************************
Bau sup ayam mengejutkan Izwan dari lenanya. Di luar sana, matahari sudah mula condong ke Barat. Jam dilihatnya sudah pukul satu tengahari. Kepalanya masih berat lagi, mulut nya terasa pahit dan tekaknya perit.

Siti Hajar dilihatnya sedang duduk di sisi katil. Terdapat seorang budak lelaki berumur 10 tahun di sisinya. Izwan sering ternampak budak itu bermain basikalnya disekeliling kawasan Kelly’s Inn.

“Ini adik saya, Abu Bakar,” Siti Hajar memperkenalkan tanpa di tanya Izwan.

“Encik Izwan, mari makan,” pelawa Siti Hajar.

Siti Hajar cuba menyuap sup ayam ke mulut Izwan.

Izwan menolak dengan mengelengkan kepalanya, perutnya terasa mual. Tekaknya perit.

“Jangan macam tu Encik Izwan. Kalau tak makan, macamana nak makan ubat. Kalau tak makan ubat macamana nak baik,” suara lunak Siti Hajar melembutkan hati Izwan. Izwan jarang jatuh sakit, dia seorang yang sihat dan cergas. Apabila jatuh sakit begini, dia menjadi seperti kanak-kanak yang minta dibelai.

“Tak lalu makan,” kata Izwan lemah.
“Makan sikit saja, okay,” pujuk Siti Hajar lagi.
Mau tak mahu Izwan terpaksa menghirup sup yang Siti Hajar suapkan ke mulutnya. Setelah selesai Siti Hajar memberi dia minum segelas air.
“Pukul 4.00 nanti saya datang bawakan ubat dan minuman petang okay,” katanya lagi. “En Izwan baik tidur semula.“



Izwan cuma mengangguk sambil memejamkan matanya. Sejuk hatinya mendengar Siti Hajar akan datang semula pada pukul empat nanti. Kenapa badannya terasa terlalu lemah. Dia memang jarang sakit. Sekali dia sakit, sakitnya agak teruk.

Apabila Siti Hajar beredar, Izwan mula terfikir. Adakah Siti Hajar akan melayan semua tetamu Kelly’s inn begini, jika mereka sakit? Siti Hajar bukan memberi perhatian istimewa kepadanya sahaja? Jika benar begini layanan yang diberikan kepada tetamu yang sakit, terasa pula sakit hatinya.

"Ehhh...eh..." Kenapa pulak dia mesti sakit hati? Dia bukan ada apa-apa dengan Siti Hajar. Izwan cepat-cepat membuangkan apa-apa perasaan di dalam hatinya. Jika Siti Hajar datang nanti, dia akan kawal perasaan dirinya. Dia tidak mahu kelihatan seperti terlalu mengharapkan layanan dan perhatian Siti Hajar. Siti Hajar sebenarnya akan memberi kepada semua orang layanan yang sama jika mereka sakit. Mr Smith yang sudah tua tu pun akan dilayan oleh Siti Hajar dengan layanan yang penuh perihatin. Izwan bukannya istimewa pada SIti Hajar. Itu servis yang Siti Hajar berikan kepada semua penginap di Kelly’s Inn. Tetapi kenapa hatinya sakit? Izwan terlena kembali dalam keadaan penuh tanda tanya.

************
Azrul sedang duduk di atas katil Izwan apabila mereka terdengar pintu bilik Izwan di ketuk. Azrul datang melawat Izwan setelah selesai menjalankan tugasnya. Dia agak risau apabila memikirkan Izwan yang sedang sakit tinggal seorang di biliknya. Rupa-rupanya sangkaan Azrul salah belaka kerana di dapatinya keadaan Izwan semakin baik. Rupa-rupanya pihak Kelly’s Inn telah menjaga Izwan dengan baik, membawakan makanan dan ubat kepadanya. Pak Suhaimi telah datang beberapa kali memapah Izwan ke bilik air untuk dia mandi dan sebagainya. Izwan nampak jauh lebih baik keadaannya dari pagi tadi semasa Azrul tinggalkan dia. Tetapi sekarang ini Azrul mendapati mood Izwan macam kurang baik. Dia seperti sedang marahkan tentang sesuatu.

Azrul bangun apabila pintu di ketuk perlahan lalu membuka pintu bilik tersebut.

“Oh! Siti Hajar,” kata Azrul.

Melonjak jantung Izwan mendengar Azrul menegur Siti Hajar tetapi riak mukanya di kekalkan kelihatan serious. Izwan geram dengan Siti Hajar. Dia merajuk dengan Siti Hajar sebenarnya. Petang tadi Siti Hajar tidak datang seperti yang dijanjikannya. Cuma Mak cik Som dan Pak cik Suhaimi yang datang menghantar makanan dan ubat. Pak cik Suhaimi menolongnya memapahnya ke bilik air. Keadaan Izwan sudah semakin baik. Pening kepalanya sudah beransur pulih. Mereka berdua segera beredar dari biliknya setelah Izwan memakan ubatnya. Tetapi menjelang petang badannya menjadi panas semula. Mukanya masam mencuka, tidak dapat menyembunyikan perasaan hampanya apabila Siti Hajar tidak datang seperti yang dijanjikan. Sia-sia sahaja Izwan ternanti-nanti kedatangan Siti Hajar. Agaknya Siti Hajar sudah jemu menjaga sakitnya.

Bila sekarang mendengar Siti Hajar sudah datang, Izwan kuat kan hatinya dengan berkali-kali menasihatkan dirinya supaya tunjukkan yang dia tidak perduli sama ada Siti Hajar ada atau tidak. Dia sahaja buat muka tidak perduli. Padahal dalam hatinya ingin sangat memandang wajah manis Siti Hajar.

Azrul membuka daun pintu dengan lebih luas untuk membolehkan Siti Hajar memboloskan dirinya yang membawa dulang makanan bersama. Adiknya Abu Bakar masuk dan terus meluru ke hadapan peti televisyen. Siti Hajar memberikan senyuman manis kepada Azrul sambil menuju ke meja yang terletak di sudut bilik. Dia kemudiannya meletakkan dulang makan di situ. Bibirnya masih menguntum senyuman. Tetapi hati Izwan sakit melihat senyuman manis Siti Hajar yang ditujukan kepada Azrul.

Azrul pula tersenyum riang melihat gadis yang ingin ditawannya kini berada di depan matanya. Abu Bakar sudah tidak perdulikan mereka bertiga, matanya terlekat di kaca televisyen, menyaksikan rancangan kegemarannya.
Azrul kemudiannya duduk kembali di sisi katil Izwan. Muka Izwan dilihat makin mencuka. Azrul tertanya-tanya dalam hatinya, “kenapa pulak dengan Izwan ni.”

Mungkinkah Izwan kurang senang dengan kehadiran Siti Hajar atau kehadirannya Azrul sendiri, kacau daun sungguh!. Seronok juga Azrul jadinya apabila memikirkan kemungkinan yang ada. Setahu dia Izwan tidak pernah berbual-bual dengan Siti Hajar, malah menjauhkan diri. Azrul tahu prinsip yang dipegang kuat oleh Izwan, tidak akan melibatkan diri dengan gadis tempatan. Memang Izwan tidak seperamah Azrul tetapi setahu Azrul, Izwan tidaklah sombong sampai macam ni. Mungkin ada penjelasan yang lebih logik lagi. Apa-apa pun, Azrul ingin tunggu dan melihat sahaja. Siti Hajar dilihatnya sedang mengatur pinggan-pinggan makanan yang hendak di hidang kepada Izwan.

“Kalau saya sakit nanti, seronoklah saya,” Azrul berseloroh.
“Kenapa pulak Encik Azrul minta sakit?” Bulat mata Siti Hajar menunjukkan dia kehairanan dengan kenyataan Azrul.
“Boleh Siti Hajar jaga dan layan saya,” Azrul ingin ketawa melihat muka Izwan yang sudah merah padam tetapi di tahan gelaknya itu. “Saya pun hendak layanan istimewa daripada Siti Hajar, macam ni jugak!. ”
Izwan berdesis sendirian kemudian menjeling tajam ke arah Azrul.

“Bolehkan… Siti….”

“Azrul, kau tak hendak pergi makan ke? Tadi kata nak makan, lapar sangat. Habis makanan baru tahu,” tiba-tiba sahaja Izwan memotong perbualan Azrul tanpa menanti jawapan daripada Siti Hajar.

“Betul Encik Azrul. Hari ini bilik semua penuh. Nanti habis makanan buffet,” ujar Siti Hajar.

“ Tak mengapa, Siti Hajar boleh masakkan ala carte nanti, kan?” Kata Azrul.
Siti Hajar cuma senyum dan berkata, ” Boleh “.

Azrul tahu Izwan semakin meradang dengannya. Mukanya masam dan merah padam. Dia seperti mahu Azrul segera pergi dari situ.

“Okaylah Izwan, aku pergi makan dulu.” Azrul kemudian bangun dan mengenyitkan matanya kepada Siti Hajar sebelum keluar dari bilik itu.

“Karang malam, kita sembang lagi okay.”

Siti Hajar hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya.

Siti Hajar kemudiannya mengangkat dulang dari meja sudut dan meletakkannya di atas meja sisi katil. Sup cendawan berkrim dan roti perancis yang disapu mentega bawang putih. Bubur nasi dengan carikan daging ayam. Ikan merah bersos putih dan sayur bayam rebus. Menu untuk orang sakit yang Hajar masakkan sendiri khas untuk Izwan. Terdapat pencuci mulut yang berupa sepiring buah strawberri. Siti Hajar duduk di sisi katil dan dengan semangkuk sup di tangannya. Tanpa banyak bicara, dia menyuapkan sup cendawan ke mulut Izwan. Izwan lihat perbuatan tidak sedikit pun dipandang pelik oleh Abu Bakar. Mungkinkah ini biasa dilakukan oleh Siti Hajar. Beginikah layanan yang diberikan kepada semua tetamu. Putus selera makannya. Dia menepis tangan Siti Hajar. Siti Hajar memujuknya semula, ingatkan Izwan tidak mahu makan kerana tidak berselera. Dia tidak sedar pergolakan di dalam dada Izwan.

“Makanlah Encik Izwan,” Siti Hajar cuba menyuapkan sup ke mulut Izwan.
Lantas Izwan memegang tangan yang ingin menyuap ke mulutnya itu. Wajahnya Nampak marah. Siti Hajar jadi kaget.

“Saya nak tahu!” Soalannya agak kasar. Siti Hajar layan semua orang macam ni ke? Kalau Mr Smith tu sakit pun Siti akan suapkan dia makan ke?”
Marah Izwan sukar dikawal lagi. Dia sebenarnya bingung dengan dirinya sendiri. Kenapa dia berkelakuan begini? Izwan melepaskan tangan Siti Hajar.

Siti Hajar tergamam, dia meletakkan sudu sup ke mangkuknya dan tunduk. Dia jadi termalu sendiri. Izwan tidak suka dengan layanannya. Mungkin dia terlalu mengikut perasaan dan bertindak keterlaluan. Dia begitu tertarik dengan Izwan dan ingin mendekatinya. Siti Hajar mengambil peluang ini untuk mendekatkan dirinya pada Izwan. Tetapi Izwan rupanya tidak suka dengan perhatiannya. Siti Hajar hendak bangun dan ingin beredar meninggalkan Izwan. Malunya Siti Hajar.

Tetapi Izwan memegang tangannya semula, menghalang dia bangun dan berkata,

“Jawap dulu pertanyaan saya?”

“Ti..tidak..selalunya amah Minachi yang bawa makanan kalau ada tetamu yang sakit atau yang minta room servis,” jawap Siti Hajar gugup. “Hari ni dia cuti, saudaranya meninggal di Tanah Rata.”
“Oh….”
“Kami tak pernah buat macam ni dengan tetamu tetapi tadi pagi saya kesihan tengok Encik Izwan terlalu lemah. Saya hanya ingin tolong sahaja.”

“Oh...”, Sekali lagi itu sahaja yang Izwan dapat katakan, perasaan dingin mula naik dari dalam perutnya ke hatinya lantas ke kepalanya, membuat Izwan terlepas dari rasa siksa yang mencengkamnya sejak petang tadi. Mulutnya mula mengukir senyum manis setelah sekian lama cemberut masam.
Siti Hajar melihat perubahan wajahnya dengan penuh tanda tanya. Siti Hajar tidak tahu apa yang sepatut dia lakukan.

“Boleh suap saya makan. Saya lapar,” kata Izwan dengan lembut. Siti Hajar memandang wajah Izwan dengan penuh tanda tanya di atas perubahan tindak laku Izwan. Tetapi dia terus menyuap Izwan makan dengan perlahan-lahan. Abu Bakar langsung tidak perduli dengan apa yang sedang berlaku. Dia begitu khusyuk menonton rancangan kartun.

“Petang tadi saya tunggu Siti Hajar. Kenapa Hajar tidak datang?” Soal Izwan, panahan matanya yang tajam menusuk terus ke sanubari Siti Hajar.

Hati Siti Hajar tiba-tiba menyanyi riang. Inikah sebabnya Encik Izwan memasamkan mukanya, dia merajuk kerana Siti Hajar mungkir janjinya petang tadi. Bukan sebab dia tidak suka dengan kehadiran Siti Hajar atau tidak senang dengan perhatian yang Siti Hajar berikan kepadanya.

“Minta maaf Encik Izwan, saya terpaksa tolong Nora, petang tadi ramai tetamu yang ‘check In’. Bukankah tadi saya cakap, amah Minachi tidak ada, jadi kelam kabut Nora dibuatnya, sebab hendak siapkan bilik-bilik untuk tetamu masuk.” jelas Siti hajar dengan panjang lebar.

“Tidak baik tau, mungkir janji,” kata Izwan menuntut untuk dirinya dipujuk.
Siti Hajar tersenyum malu. “Oh… saya mungkir janji saya tadi ye. Okay! lain kali, saya tidak buat lagi. Encik Izwan maafkan saya, boleh?”

Izwan kemudiannya mengangguk tanda memaafkan Siti Hajar. Sejuk hatinya dipujuk lembut oleh Siti Hajar yang manis itu.

Selepas itu, Siti Hajar dan Izwan meneruskan perbualan mereka sambil Izwan makan. Baru kali ini mereka dapat berbual betul-betul dengan panjang lebar, untuk mengetahui tentang diri masing-masing.

Rupa-rupanya Siti Hajar tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah kerana ibunya sakit. Dia telah di diagnosiskan mengidap kanser payu dara. Keadaan ibunya semakin teruk. Mujur sekarang ini ada Mak cik Som yang merupakan tukang masak dan juga pembantu yang menjaga ibu Siti Hajar. Mak Som adalah seorang janda yang tidak mempunyai anak. Walaupun masih muda berbanding dengan umur ibu Siti Hajar, Mak cik Som lebih sukar dipanggil Mak cik. Perbualan mereka kemudian berkisar kepada Kelly’s Inn. Bagaimana mereka beroperasi setiap hari. Menurut Siti Hajar. Pak cik Suhaimi, akan turun ke Tapah setiap tiga empat hari bagi mendapatkan bekalan barang basah. Barang keperluaan lain dihantar oleh van atau lori oleh pemborong. Izwan senang hati mendengar Hajar bercerita. Selama ini dia asyik dapat cerita second hand dari Azrul. Puas hatinya dapat bercakap sendiri dengan Siti Hajar.

Apabila Izwan menghabiskan kesemua makanan yang dibawa Siti Hajar, dia memberikan ubat untuk di makan oleh Izwan. Siti Hajar meletakkan tangannya di dahi Izwan. Suhu badan Izwan masih panas tetapi tidak sepanas pagi tadi.

“Insyaallah besok baik. Elok Encik. Izwan tidur awal dan berehat betul-betul,” kata Siti Hajar.
“Macam `Nightingale’ pula,” puji Izwan. “Kalau macam ni jagaannya siapapun pasti baik dengan segera,” Kata Izwan lagi. Tersipu-sipu Siti Hajar mendengarnya.
“Tetapi Siti Hajar janji dengan saya satu perkara, boleh,” Kata Izwan sambil memegang tangan Siti Hajar yang sedang menyelimutinya.

“Apa dia Encik Izwan,” Siti Hajar risau apabila tanganya dipegang Izwan. Izwan sedar Siti kurang senang apabila Izwan memegang tangannya. Ini membuat dia lagi lapang dada. Siti Hajar tidak biasa dipegang oleh lelaki. Gadis ini mempunyai budi pekerti tinggi dan pandai menjaga adat sopan, .

“Jangan jaga orang lain lagi macam ini….terutama sekali Azrul. Walaupun mereka sakit sampai nak mati pun.” Kata Izwan.


Siti Hajar tersenyum mendengarnya. Rasa hendak ketawa pun ada mendengar kata-kata Izwan itu. Hatinya berbunga, kata-kata Izwan seperti ingin memberitahunya sesuatu.

“Baiklah Encik Izwan, saya pergi dulu. Kalau perlu apa-apa nanti, En Izwan boleh telephone dekat ‘room services’. Kami akan membantu.

Izwan cuma menganggukkan kepalnya, membenarkan Hajar beredar. Hatinya terasa lapang dan senang menerima senyuman istimewa dari Siti Hajar. Malam ini dia boleh tidur dengan senang hati sekali. Senyuman Manis siti Hajar terlekat di hatinya.

7 comments:

Anonymous said...

best sgt citer ni....

IVORYGINGER said...

he... sweet ja izwan. cemburu betul.
tu la bt anggapan bukan2 kat hajar. tgk tmalu sndr.
lps 2 siap pesan-pesan lg jgn layan org camni terutama si azrul tu. he... but azrul tu bahaya la, bukan ke dia jealous gila ngan izwan tu. hajar kena hati2 la. jgn layan azrul tu sgt. ;D

tni said...

sweet2. like it very much

hani said...

menarik....nak lg

Hafia Hana said...

nk lg
biar izwan jauhkan ct hajar dr azrul

Zass said...

kak alina memang pandai mebuaikan perasaan pembacalah.. clever author! sebijik dengan apa yang saya inginkan berlaku, diceritakan dalam novel ni.. hrmm. nice sgt2!

Anonymous said...

best...lelaki tetap lelaki ego!

Post a Comment

 
Cheap Web Hosting | Top Web Host | Great HTML Templates from easytemplates.com.