Friday, January 7, 2011

Siapa Aku DI Sisi Mu Bab 4

Bab 4

Masa yang di ingatkan akan berjalan dengan lambat di Cameron Highland rupa-rupanya telah bergerak dengan pantas. Kebosannya yang di jangka, rupa-rupanya tidak berlaku sama sekali. Tanpa di sedari sudah hampir enam minggu bulan berlalu sejak Izwan menjejakkan khki mereka di Kelly’s Inn. Hari-hari Izwan nantikan dengan penuh harapan untuk diluangkan bersama dengan Siti Hajar. Walau bagaimanapun mereka tidak banyak peluang untuk menghabiskan masa bersama. Masing-masing agak sibuk dengan tugas tetapi rasa cukup bahagia di masa-masa Izwan dapat bersama-sama Siti Hajar.



Pagi Ahad ini, awal-awal lagi Izwan sudah bangun dan menunggu Siti Hajar di ruang lobby Kelly’s Inn. Kedinginan menggigit tubuhnya. Selalunya pagi Ahad begini, Izwan masih mengerikut di atas katil. Jika di Kuala Lumpur, di rumah ibunya sampai pukul 1.00 petang pun belum tentu dia akan bangun lagi. Manakan tidak, semalam-malaman clubbing. Selagi belum subuh selagi itulah dia akan berada di sana. Azrul sebagai kawan baiknya sejak di Brigthon, begitu juga tabiatnya dan memang sangat memahami benar dengan perangai Izwan. Kalau Azrul tahu Izwan sudah berada di lobby pada pagi hari Ahad yang dingin ini, terkejut badak Azrul agaknya.

Tidak lama kemudian, Siti Hajar dan Abu Bakar keluar dari pintu bahagian belakang lobi. Di tangan masing-masing sebuah bakul rotan yang di tutup dengan kain kapas berkotak-kotak merah dan putih. Siti Hajar memakai seluar hitam dan berbaju kuning blaus berbunga-bunga kecil berlengan panjang. Dia memakai topi berwarna putih. Izwan bangun apabila melihat mereka. Dalam kesamaran itu, senyuman Siti Hajar kelihatan sungguh menyegarkan, Berjaya menusuk hingga ke sanubarinya.

“Sudah lama En Izwan tunggu kami?’ Soalnya penuh dengan sopan santun.
“Tidak saya baru sahaja keluar dari bilik saya,” kata Izwan. Siti Hajar tidak tahu, dia baru terjaga lima minit yang lalu, Dengan bergegas-gegas dia mandi dan bersiap untuk menyertai Siti Hajar pagi-pagi ini. Tidak sabar rasanya dia ingin mendampingi Siti Hajar pagi ini.
Izwan kemudiannya mengambil bakul yang di bawa oleh Siti Hajar.

“Okay, mari kita pergi sekarang. ” Jam di tangan Izwan mengujukkan baru pukul 6.30 pagi. Di luar sana hari masih gelap lagi. Izwan mengikut Siti Hajar yang berjalan keluar dari Kelly’s Inn dan menuju ke belakang kawasan rumah penginapan ini. Abu Bakar sudah berlari-lari anak di hadapan mereka. Izwan dan Siti Hajar berjalan perlahan-lahan sambil menikmati keindahan waktu pagi. Burung-burung sudah mula berkicau-kicau riang. Sang ibu keluar mencari makan untuk anak-anaknya disarang.
Mereka ternampak seseorang sedang membongkok-bongkok membelik sesuatu di hadapan mereka.
“Good morning Mr Smith,” tegur Siti Hajar. “Got any interesting birds to watch today.”
“No..Not yet, just the usual species,” Ujar Mr Smith dengan loghat Australia yang agak pekat. Siti Hajar tersenyum memberi semangat.
“Good luck to you.”
“Thank you dear. Good day to you both.”
“Good die to you too, “ sahut Izwan. Siti Hajar ketawa mendengar Izwan mengikut cara Mr Smith bercakap dengan slang Australia.
“Semangat betul mat salleh ini ye. Pagi-pagi buta dia sudah keluar untuk bird watching,” ujar Izwan.
“Seronok kan kalau kita boleh jadi macam dia.”
“Seronok macamana pulak,” tanya Izwan.
“Iyelah banyak duit, tak payah kerja teruk-teruk. Habiskan hidup ini dengan menjalankan hobinya membuat pengecaman burung.” Siti Hajar menjelaskan kemudian menyambung lagi. “Kalau saya jadi orang kaya, saya pun nak jadi macam Mr. Smith. Berjalan keliling dunia, melancung, menjadi lady of leisure. “
Izwan cuma terdiam memerhatikan muka Siti Hajar yang sedang hilang dalam angan-angannya.
“Saya rasa Hajar tidak boleh duduk diam, kalau kita sudah biasa bekerja, mesti bosan,” sangkal Izwan.
“Oh! Saya akan libatkan diri dengan kerja amal, tolong orang miskin, orang tua-tua, orang sakit.”

Tiba-tiba Izwan membayangkan sebagai isterinya Siti Hajar terlibat dengan kerja-kerja amal. Tentu ramai pesakit yang menjadi baik di layan oleh Siti Hajar. Dia tersenyum sendiri.

Siti Hajar makin cepat berjalan menuju ke lorong kecil dihadapan mereka. Di kiri kanan terdapat pokok-pokok bunga. Bunga-bunga yang sedang mekar bewarna ungu berbentuk loceng. Memang tidak terdapat di tanah rata. Kebanyakan bunga-bunga di sini bersaiz lebih besar berbanding dengan bunga di tanah rendah. Izwan cuma mengikut dari belakang. Senang hatinya melihat lengguk liuk Siti Hajar. Di hujung lorong terdapat sebuah kawasan yang berpagar, Pintu pagar sudah terbuka, mungkin Abu Bakar yang telah membukanya. Siti Hajar menunggu Izwan sampai ke pintu pagar dan mereka masuk bersama-sama, kemudian dia menutup pagar tersebut. Di dalam kawasan berpagar itu terdapat berbaris-baris pokok Strawberri yang tanam di dalam beg plastik. Setiap beg plastik pula di sambung dengan paip-paip air halus bagi tujuan pengairan. Keseluruhan kawasan ladang strawberi di tutup dengan jaringan kain jala hitam bagi mengurangkan jumlah cahaya yang masuk.

“Besar juga ladang strawberi ni ye!” kata Izwan.
“Boleh tahan juga. Dalam dua ekar,” jawap Siti Hajar sambil membawa Izwan masuk jauh ke dalam dan berhenti di sebuah meja yang terdapat di tepi tebing. Siti Hajar mengambil bakul yang dibawa oleh Izwan dan meletakkannya di atas meja bersebelahan bakul yang telah diletakkan oleh Abu Bakar. Abu Bakar sudah mula mengutip buah-buah strawberi yang sedang masak ranum.

“Besar betul buah-buah strawberi ni,” ujar Izwan sambil memetik sebiji dan terus memakannya. “Manis,” katanya lagi sambil memandang muka Siti Hajar. Ada dua makna dalam kata-katanya.
“Lepas kutip buah-buah ni buat apa,” tanya Izwan
“Bawa ke bangsal proses, di sana Shasi yang ada kat dalam tu akan gredkan, masukkan dalam bekas plastik, lebalkan dan pack untuk dijual kepada pelanggan tetap.

Yang kurang baik daripada gred A, di masukkan dalam bekas plastik dan di jual di tempat buah di tepi bukit tu. Yang lain-lain kami buatkan jem, desert, kek pastries dan lain-lain lagi.”
Izwan mengangguk setelah mendengar penjelasan Siti Hajar.

“Boleh tahan ye, bermacam-macam yang keluarga Hajar buat. Berkebun bunga, sayur strawberri sambil menguruskan Kelly’s Inn. Ramai ke pekerja yang di ambil bekerja,” tanya Izwan.

“Di ladang sayur, buahan dan bunga ada 3 pekerja indonesia, yang lainnya orang India yang sudah turun temurun bekerja di ladang-ladang the. Yang lain-lainnya seperti yang Encik Izwan nampak di Kelly’s Inn,” Sambil bercerita tangan Siti Hajar dengan pantas memetik buah-buah strawberri yang terjuntai dari tangkainya. Kemudian dengan lembut dia meletakkan di dalam bakul yang di jinjing oleh Izwan.

Abu Bakar dan seorang budak lelaki berbangsa India yang sebayanya sedang memetik buah strawberri di batas yang lain. Sambil memetik, mereka berbual-bual. Nampaknya seperti kawan akrab. Matahari sudah mula menampakkan sinarnya, tetapi suasana di ladang strawberri masih lagi dingin. Mereka meneruskan kerja-kerja mereka sambil berbual-bual mesra. Terdapat juga seorang pekerja Indonesia yang mengutip buah-buah strawberri di kawasan yang tinggi dan sukar di tempuhi oleh mereka. Menjelang pukul 8.30 hampir keseluruhan kerja-kerja memetik buah selesai. Buah-buah di hantar ke bangsal untuk pengasingan. Izwan memerhati dengan penuh minat kerja-kerja pengredan yang di lakukan oleh Shasi.

“Yang bersama dengan Abu Bakar tu ialah Raja, anak Shasi. Mereka berkawan sejak kecil lagi. Sekarang ni mereka belajar dalam kelas yang sama,” terang Siti Hajar tanpa ditanya oleh Izwan. Izwan memandang mereka dengan penuh minat.

“Patutlah budak India itu fasih berbahasa Melayu. “
Siti Hajar mengangguk dan membalasnya.

“Dan Abu bakar belajar bercakap bahasa Inggeris dengan Raja. Keluarganya memang fasih berbahasa Inggeris, sebab sejak dahulu mereka berkerja di ladang-ladang orang putih.”

Siti Hajar kemudiannya memilih beberapa biji strawberri yang masak ranum, membasuhnya dan meletakkan di dalam mangkuk yang terletak di atas rak pinggan.

“Mari Encik Izwan, kita pergi sarapan.” Izwan cuma mengekorinya sahaja dari belakang. Tiba di meja yang terdapat di hujung kebun, Siti Hajar mengangkat bakul yang diletakkannya di situ. Izwan mengangkat sebuah bakul yang lebih besar. Mereka kemudiannya menuruni tebing melalui anak-anak tangga kayu menuju ke bawah. Permandangan hijau luas terbentang indah menanti mereka. Kehijauan ladang-ladang the di cerun-cerun bukit membuatkan Izwan berasa berada di satu dunia lain yang indah dan penuh dengan kehijauan. Siti Hajar berjalan dihadapan dan berhenti disebatang sebuah pokok besar yang rendang. Daunnya lebat dan menjuntai ke ke tanah. Di bawahnya itu terdapat meja dan bangku-bangku kayu. Bersebelahan pohon terdapat mata air yang mengalirkan air jernih. Air yang mengalir ke sebuah kolam kecil yang jernih airnya.

Setelah meletakkan bakul yang dibawanya ke atas meja, Izwan mengampiri kolam kecil dan melihat ke dalam kolam tersebut, terdapat beberapa ekor ikan kecil yang menghuni kolam tersebut. Air dari kolam itu kemudiannya mengalir keluar dan hilang dicelah-celah batu menuruni, lereng tebing tersebut. Izwan menghampiri mata air tersebut, menadah air dengan tangannya. Sungguh dingin airnya. Dia mencuci tangannya dan menyapu mukanya.

Dia memerhatikan permandangan indah yang luas terbentang di hadapannya. Keadaan sekeliling begitu menghijau, sejauh mata memanjang.
“Saya rasa macam berada di dalam dunia khayalan. Macam di dalam dunia orang bunian,” kata Izwan lagi. Dia menoleh memandang Siti Hajar yang sedang mengeluarkan makanan untuk mereka bersarapan. Dan pada dirinya, Siti Hajar pula seperti Puteri Bunian, dengan rambutnya yang hitam, selembut sutera, melayang ditiup bayu pagi. Kemudian, Siti Hajar mengangkat mukanya, bibirnya yang mungil mengukirkan senyuman yang sungguh manis. Mata mereka bertentang, bertarung lama. Siti Hajar terpaku di tempat dia berdiri. Jantungnya berdebar melihat panahan mata Izwan yang sangat tajam, memanah hingga ke tangkai jantungnya. Dapat dirasakan kepedihannya, tetapi dirasakan juga nikmat kebahagiannya.


Pada masa itu, Izwan tahu bahawa dia mencintai Siti Hajar. Malahan dia sedar dia telah jatuh hati dengan Siti Hajar sejak pertama kali bertemu dengannya. Siti Hajarlah gadis yang dicari-carinya selama ini. Pelengkap hidupnya yang yang kini berusia suku abad. Perasaan aneh menyelinapi dirinya, merentap hingga ke rona-rona sarafnya. Menaikkan bulu romanya. Seribu persoalan menyerbu dirinya. Bagaimanakah ini boleh terjadi? Apakah yang dia harus lakukan? Adakah gadis ini boleh menjadi miliknya. Semua persoalan tiba-tiba menyerbu dirinya, bergemuruh dadanya, bergolak dan akhirnya bederai dengan seribu macam lagi tanda tanya. Lama Izwan terpaku di situ. Hajar juga Nampak terpaku, tidak dapat lari dari pandangan tajam Izwan.

“Kakak, sudah siap belum? Kami lapar ni!” Tiba-tiba suara Abu Bakar memecah kesunyian pagi itu. Menyedarkan Izwan dan Siti Hajar yang terpaku di bawah pohon yang rendang itu.

“Ah!..su..sudah Bakar, mari kita makan,” Siti Hajar cuba menutup keresahan dirinya. Izwan tersenyum melihat keresahan Siti Hajar kerana dia pun mengalami rasa yang sama.

“Raja, jom cepat kita makan,” Abu Bakar melaung kepada Raja yang sedang menuruni tangga kayu.

Di atas meja kayu, makanan sudah terhidang. Sandwich telur dan sandwich sardin di susun di dalam pinggan kertas. Kepingan roti sandwich yang bersaiz besar, bukan seperti yang di beli di kedai-kedai. Roti yang baru sahaj di bakar pagi tadi oleh Mak cik Som. Terdapat juga sebuku lagi roti yang belum di potong, masih hangat lagi. Baunya sungguh harum, menyemarakkan rasa lapar mereka. Siti Hajar kemudiannya membuka bekas tupperware yang bertingkat-tingkat empat. Bau nasi lemak mengancam untuk melelehkan air liur, membuka selera. Satu persatu tingkat tupperware di buka, Sambal ikan bilis, ayam goreng berempah, telur rebus, timun dan kacang tanah goreng.
Tanpa berlengah Abu mengambil piring plastik dan menceduk nasi lemak untuk mereka berempat. Siti Hajar kemudiannya menceduk sambal tumis, meletakkan ayam goring, timun, telur dan kacang sebagai bumbunya. Abu Bakar dan Raja mengambil pinggan mereka dan pergi duduk di atas batu besar di tepi tebing. Mereka terus makan dengan lahapnya. Siti Hajar membawakan sepinggan besar sandwich dan dua cawan air teh kepada mereka. Mereka menyambut pinggan dan cawan the itu sambil mulut mengunyah nasi lemak tadi.

Kemudian, Siti Hajar dan Izwan pun duduk di atas bangku kayu dan memakan makanan yang terhidang di hadapan mereka. Siti Hajar cuba menutup perasaan malunya dengan pura-pura sibuk melayan Izwan makan. Perut Izwan memang sudah lapar benar. Dia makan dengan lahap. Tetapi matanya masih menikam tajam mata Siti Hajar.
“Siapa yang masak nasi lemak pagi ni?”
“Macam biasalah tukang masak.” Jawap Siti Hajar
“Bukan hari ni lain rasanya. Siapa yang masak. Hajar ke?”
Hajar mengangguk. “Patutlah sedap betul,” kata Izwan, memuji. Pipi Siti Hajar hangat, dia tahu mukanya merah padam. Izwan cuma tersenyum melihat pipi yang gebu itu menjadi kemerah-merahan. Seperti kulit epal fuji yang kemerahan. Keayuan wajah Siti Hajar bukan seperti wajah gadis-gadis yang Izwan selalui kenali, merah pipinya bukan daripada bahan-bahan mekap. Ingin dia meletakkan bibirnya di situ, tetapi dia sedar ini bukan masa dan tempat yang sesuai dan Hajar mesti tidak suka kalau dia buat begitu.

Siti Hajar berhenti makan nasinya. Hajar kemudiannya memotong kepingan roti yang baru. Kemudian dia menyapukan lapis mentega dengan tebal, diikuti pula dengan jem strawberri yang merah. Masih kelihatan ketulan buah-buah strawberri di dalam jem itu. Dia kemudiannya menangkup roti itu dengan roti lain. Setelah habis ke semua roti disapukan dengan jem dan mentega, Siti Hajar memanggil Abu Bakar untuk mengambil roti tersebut. Abu Bakar dan Raja nampaknya telah memakan semua nasi goreng dan sandwich telur dan sardin yang diberikan oleh Siti Hajar. Raja datang tersengih, sengih mengambil empat kepingan sandwih jem itu untuk dimakannya dengan Abu Bakar.

“Sudah lamakah Hajar dan keluarga menjalankan `board’ and `breakfast’ di Kelly’s Inn ini?” Soal Izwan sambil mengigit roti sandwich yang dihidangkan oleh Hajar. Begitu lembut dan lazat sandwich tersebut tersebut.

“Sudah dekat 10 tahun,” jawap Siti Hajar, tangannya masih sibuk menyediakan hidangan makanan selanjutnya untuk Izwan dan dirinya.
“Abah dan emak sangat menyukai kawasan ini.”
“Mereka berdua dulunya sama-sama belajar di UK, buat TESL. Selepas balik ,mereka mengajar di sekolah menengah. Mereka berdua jatuh cinta dengan keadaan di Cameron Highland. Mereka bekerja bersungguh-sungguh untuk menabung dengan harapan akan dapat memiliki harta tanah di sini. Kemudian mereka dapati bungalow Kelly’s Inn ini di buka untuk jualan. Tanpa berfikir panjang mereka menggunakan semua wang simpanan mereka membeli 15 ekar tanah di sini bersama dengan bangunan yang menjadi Kelly’s Inn sekarang ni. Pada masa tu harga `property’ ini agak rendah berbanding sekarang.”
“Lagipun di Kampung Raja pada masa tu tidak banyak pelancung,” Siti Hajar bercerita tentang kedua ibu bapanya kepada Izwan yang sedang khusyuk mendengar sambil mengunyah makanannya.
“Mereka tinggalkan kerjaya masing-masing dan mengusahakan tanah yang telah di beli. Menjual sayur dan bunga dan juga menjalan operasi Kelly’s Inn. “

“Sebuah `happy ending’ kepada pasangan yang bahagia. Bukan macam tu,” Izwan mencelah. “Dengan dua orang anak yang comel, seorang putera dan seorang puteri.”

“Emak sungguh bahagia di sini, dia yang menjadi tukang masak dan abah menguruskan operasi Kelly’s Inn. Ini semua idea dia, menjadikan Kelly Inns sebagai tempat yang selesa, home away from home. Semuanya seperti home cooks meal, campuran ala colonial dan melayu.”
Oh rekabentuk dalam ala `english country’ semua tu idea daripada emak Hajar lah?”
“Iye, menarikkan interior design of all the rooms?”
“Jadi Hajar pun mahu mengikut jejak emak Hajar menguruskan Kelly’s Inn ni nanti?”
Entahlah, saya minat dengan bidang katering dan pengurusan Hotel. Tetapi entahlah Encik Izwan. Tentang masa depan saya tidak tahu lagi hala tuju saya. Sekarang ini yang penting membantu ayah dan emak saya.
“Kenapa pulak? Hajar kan ada impian sendiri, lama-kelamaan Hajar mesti mempunyai hidup sendiri.”
Hajar mengelengkan kepalanya. Dia sudah lama melupakan impiannya itu. Sejak emaknya sakit.

“Memang itulah harapan kami semua, we were a very happy family. Tetapi tiba-tiba dua tahun sudah emak mula sakit-sakit. Kami semua terkejut apabila doktor mengesahakan emak menghidap breast cancer. Sekarang ini dia sudah agak lemah. Abah kena sediakan wang yang banyak untuk membiayai perubatannya di Kuala Lumpur.

Memang kami sudah buat perancangan untuk saya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah di Sebuah Univeirsity Kulinari di Switzerland. Tetapi sekarang ini untuk melanjutkan pelajarn di UITM pun agak membebankan abah. Dia sangat memerlukan saya di sini membantu nya dan juga menjaga emak.”

Izwan terdiam mendengar kisah Siti Hajar. Waktu mudanya kini harus di habiskan untuk menolong abah dan emaknya yang sedang sakit. Pengajiannya pun tidak dapat ditamatkannya.

“Tetapi Encik Izwan jangan salah faham, saya suka dengan keadaan saya sekarang,” tiba-tiba Siti Hajar memecah the kesepian yang melanda sejenak di antara mereka.
“Say suka dapat bekerja bersama-sama dengan abah dan dapat menjaga emak. Saya sangat bersyukur kehadrat Allah kerana dapat berbuat demikian. Selama ini emak dan abah banyak berkorban untuk kami, saya kini berpeluang membalas jasa baik mereka. Saya bahagia bersama-sama dengan kebun bunga dan sayur saya. Mak cik Som pula memberi peluang saya mencuba resipi-resipi baru. Kebanyakan dessert yang di hidangkan tu saya yang buat,” Siti Hajar berubah menjadi ceria menceritakan tentang topik kegemaran, penyediaan makanan.

“Iya ke. Patutlah sedap-sedap betul dessert yang selalunya di dapati di Kelly Inn’s. Tukang masaknya lawa dan ayu,” Kata Izwan.
Siti Hajar memandang muka Izwan. “En Izwan perli saya ye?”
“Eh! Tidak!....Betul. Pujian tu ikhlas dari hati saya,” Kata Izwan lagi.
Senyuman yang diberikan oleh Hajar cukup mengetarkan jantungnya. Mereka kemudiannya terus makan nasi lemak yang terhidang sambil berbual-bual mesra.
Abu Bakar dan Raja juga berbual-bual dengan riang sambil menikmati sarapan pagi itu. Matahari sudah mula menampakkan kegarangannya. Suasana di keliling sudah mula di sinari oleh cahayanya yang terang benderang. Abu Bakar dan Raja tetap duduk di atas batu tadi walaupun panas sudah makin terik. Kesejukkan pagi membuatkan mereka selesai bersantai di atas batu tersebut.

Siti Hajar memainkan peranan sebagai seorang hos dengan begitu baik sekali. Setelah habis memakan sandwich, Siti Hajar menghulur pula roti dengan jem dan mentega yang disediakannya tadi. Izwan menyambutnya terus menggigit roti tersebut. Seingat Izwan belum pernah dia merasa roti yang selazat ini. Tekstur rotinya lembut disapu dengan lapisan mentegaga yang tebal dan jem strawberri buatan sendiri
Siti Hajar kemudiannya dia menuang `teh yang masih berkepul-kepul asapnya dari termos yang besar.
“Patutlah berat bakul yang dibawa tadi.” Getus hati Izwan. Bermacam-macam makanan yang dibawanya.

“Sedapnya. Hajar tahu tak? Kalau dari tangan Hajar semuanya sedap belaka,” tegur Izwan.
“Tak adalah, En. Izwan memang sudah lapar, sudahlah tu kena kerja keras kutip buah strawberri. Mana tak lapar? Bila sudah lapar, semuanya lazatkan,” kata Siti Hajar lantas dia juga telah mencapai sekeping sandwich telur lalu mengiggitnya sedikit. Seperti Izwan, dia juga memang sangat lapar, tetapi dia agak segan untuk makan dengan begitu lahap seperti Abu bakar dan Raja.

Setelah selesai makan, Abu Bakar dan Raja mencuci tangan, pinggan dan cawan masing-masing, kemudian mereka menyimpan peralatan makanan itu ke dalam bakul. Mereka berdua kemudiannya berlari menaiki tangga kayu itu semula. Shasi sudah pesan agar mereka segera naik untuk menolong dia menyusun bekas-bekas strawberri ke dalam kotak. Shashi nampak seperti kurang bermaya hari ini. Dia ingin menghabiskan kerja-kerja pembungkusan dengan segera. Tidak lama lagi lori akan datang membawa buah-buah strawberri turun ke bawah untuk diedarkan ke hotel-hotel dan pelanggan mereka.

Siti Hajar mengemas pinggan-pinggan nasi lemak dan roti sandwich yang mereka makan tadi. Hatinya puas melihat kesemua makanan yang dibawanya habis licin. Izwan sedang menghirup `the bru Cameron Highland, yang popular di sini.

Hajar kemudiannya mengambil sebiji buah avovado dari bakulnya dan mula mengupasnya.

“Encik Izwan hendak tahu, kami selalu berkelah di sini. Tempat ini sangat istimewa bagi kami sekeluarga. This is where our hope begins. Abu Bakar pun kalau merajuk mesti datang ke sini. Saya selalu ke sini untuk menenangkan hati saya. Ini juga tempat emak dan abah duduk untuk pada masa lapang. Tetapi sayangnya sekarang emak sudah tidak berdaya untuk berjalan ke sini. Jadi abah pun tidak lagi ke sini. “

Izwan memerhatikan pokok yang rending itu, memang menarik sekali pokok itu, seperti memberi tempat perlindungan kepada sesiapa yang sudi berteduh di bawahnya. Memang tempat ini istimewa. Izwan sedar dan menghargainya kerana Siti Hajar mahu berkongsi tempat yang istimewa ini dengannya.

Siti Hajar menghirir halus-halus buah avocado yang di kupasnya itu. Kemudian di letakkan di atas piring kertas yang dikeluarkan dari dalam bakul. Setelah mengemaskan meja kayu itu, Siti Hajar mengeluar piring kertas dan membuka bekas tupperware yang lain.


“Ini ialah avocado pie. Saya cuba resipi yang say baru dapat dari majalah semalam. Encik Izwan nak cuba rasa,” tanya Siti Hajar. Izwan mengangguk
“Hari ini saya jadi pakar rasa dessert dari chef Hajar.”
Hajar ketawa gembira.
Tangannya dengan pantas membuat penyediaan makanan, seperti seorang chef yang berpengalaman. Pie Avocado dipotong sejurung lalu diletakkan di atas piring, kemudian dia mengambil berapa hirisan nipis avocado di susunnya berbentuk kipas di sisi pie tersebut. Buah strawberi yang besar yang di kutipnya tadi di letakkan sebanyak 3 biji di pangkal pie tersebut. Akhir sekali di pamnya krim putar putih di atasnya. Lalu dihidangkan kepada Izwan yang memerhatikan sejak tadi lagi. Siti Hajar memang betul betul gemar membuat persediaan makanan sebegini. Dia berupaya membuatkan persembahan dessert itu sesuatu yang betul-betul memikat hati. Melihat cara penyusunannya sahaja sudah membuka selera sipemakannya. Izwan tidak pernah tertawan hatinya kepada sesuautu yang begitu simple seperti hari ini.

Izwan mengambil sudu kecil yang terletak di piring dan merasa pie tersebut.
Kemudian dia meletakkan jari telunjuk dan ibunya di mulutnya sambil mengucupnya lagak sebagai perasa makanan dari peranicis.
“Exquiste.” Ditujukan kepada makanan yang di hidangkan tetapi matanya menceritakan tentang Siti Hajar.


Siti Hajar ialah seorang gadis yang begitu menawan dari semua segi. Cara dia bekerja, cara dia membuat persiapan makanan, makanan yang disediakannya. Sangat-sangat memikat hati Izwan. Semua yang dilakukan oleh Siti Hajar sangat menarik buat Izwan. Seperti makanan pencuci yang dihidangkan oleh Siti Hajar sangat sangat membuka selera dan memikat. Begitulah Siti Hajar kepada Izwan, sangat-sangat menawan, memikat dan sempurna. Pada saat dan ketika itu, Izwan yakin di dalam hatinya. Izwan mahukan Siti Hajar menjadi miliknya.

5 comments:

hani said...

harap2 impian izwan tercapai....nak lg..!!!!

Anonymous said...

mesti kena bagi sampai tercapai....
nak lg...nak lg...nak lg...

Dr.LoVe said...

kak alina, saya dah jatuh cinta ngan cerita akak ni lah...best sangat dan saya tahu semua penulisan akak mmg power n meletop...

sy harap ending happy ya kak...

Anonymous said...

gempak la cita akak ni.. best2 belaka...
smbng lg ya...

xoxo ~aki~

Seorg wanita... said...

Best jalan citer ni... :-) mesti berliku-liku dugaan yg akan Hajar lalui nanti..

Post a Comment

 
Cheap Web Hosting | Top Web Host | Great HTML Templates from easytemplates.com.